Sunday, March 28, 2010

Air sisa pusat cuci kereta punca pencemaran, kanser

Kegiatan mencuci kereta menggunakan 'snow wash' di sekitar ibu kota berleluasa tanpa dilengkapi sistem aliran dan rawatan sisa air.


Air sisa basuhan daripada lebih 10,000 pusat cuci kenderaan yang dianggarkan beroperasi di negara ini, dikenal pasti antara punca pencemaran sumber air dan hidupan laut yang boleh menyebabkan kanser. Ia berikutan penggunaan 'snow wash' mengandungi bahan kimia Linear Alkylbenzenes (LABs) tanpa sebarang sekatan atau larangan, malah hampir 95 peratus daripada pusat cuci kenderaan langsung tidak dilengkapi sistem aliran dan rawatan sisa air, sebaliknya terus disalurkan ke longkang atau sungai.


Kegiatan itu jelas melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 membabitkan sumber air di bawah bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar serta Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 membabitkan bekalan air terawat di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara. Berdasarkan kajian saintifik sejak 15 tahun lalu, air sisa cuci kenderaan disahkan mengandungi bahan kimia serta logam berat yang mengalir apabila bahan berkenaan disapu pada kenderaan dan boleh menanggalkan cat, kesan minyak hitam, tar serta minyak brek. Jika pengusaha cuma menggunakan syampu kenderaan tanpa 'snow wash', kesannya tetap berbahaya kerana kedua-duanya dikategorikan bahan cuci industri berkuasa tinggi yang mempunyai lebih kuasa 'surfactants' dan mampu menyerap bahan pencemar organik, termasuk sisa minyak seperti gris dan lebihan minyak gear.


Pakar Forensik Alam Sekitar, Pencemaran Marin, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Mohamad Pauzi Zakaria, berkata kurangnya kesedaran dan sikap bertanggungjawab menguruskan lebihan air menyebabkan sisa basuhan dibiarkan mengalir ke longkang, sungai dan laut. Beliau menyifatkan kesan penggunaan bahan kimia tanpa kawalan itu kini pada tahap sangat membimbangkan, sekali gus memerlukan pihak berkuasa melakukan sesuatu dengan segera, terutama kerana hasil laut adalah antara makanan utama rakyat negara ini.

Sangat membimbangkan... kajian ke atas tisu kupang di beberapa kawasan perairan negara menemui bahan LABs, benzo (a) pyrene dan benz (g,h,i) perylene, iaitu sejenis hidrokarbon aromatik yang paling berbahaya kepada kesihatan manusia. "Ia boleh menyebabkan kemusnahan sistem endokrin dan punca kanser kerana bahan karsinogenik adalah penyebab kanser. Situasi sama berlaku kepada hidupan laut lain dimakan manusia," katanya.


Tinjauan Berita Minggu mendapati kebanyakan pusat cuci kenderaan langsung tidak dilengkapi kemudahan sistem aliran air sisa, termasuk membiarkannya mengalir ke jalan raya, malah pekerja yang kebanyakannya warga asing juga langsung tidak tahu bahan yang digunakan. Ketika ditanya jenis sabun mencuci kenderaan, pekerja terbabit memaklumkan mereka tidak tahu jenamanya, tetapi mengakui kaedah `snow wash' memudahkan kerja kerana mengeluarkan banyak buih.

Sepanjang kajian ke atas kesan sisa air basuhan kenderaan, saintis turut menemui kesan LABs yang sudah pun merebak ke Laut Cina Selatan dalam lingkungan 200 batu nautika, bahkan di Pulau Layang-Layang juga mempunyai kesan pencemarannya.

Kesan sama juga berlaku sekiranya orang ramai mencuci sendiri kenderaan di rumah kerana sudah pasti sisa basuhan mengalir ke longkang berdekatan. Mohamad Pauzi menjangkakan dalam tempoh kurang 50 tahun akan datang, masalah itu menjadi lebih serius sekiranya pihak berkuasa tidak mengambil tindakan cepat mengawal aktiviti di premis cuci kenderaan.

"Di Jepun, pemilik kenderaan akan didakwa sekiranya membasuh kenderaan di rumah. Mereka cuma dibenarkan mencuci kenderaan di premis khas yang mempunyai sistem rawatan air terpakai. Itu yang sepatutnya kita lakukan, bukan membiarkan aktiviti ini tanpa kawalan," katanya. "Kebanyakan pusat cuci kenderaan mempunyai lantai bersimen, jadi sisa yang ditinggalkan langsung tidak ditapis tanah dan mengalir sepenuhnya ke longkang atau mana-mana kawasan rendah," katanya.

Bahan toksik pencuci kenderaan tak mudah larut

JIKA dianggarkan 50 peratus daripada kira-kira 10 juta pemilik kenderaan persendirian berdaftar di Malaysia mencuci kenderaan di pusat cuci sekali dalam sebulan, ia bermakna lima juta daripada mereka menyumbang kepada pencemaran air negara.Itu belum dikira kenderaan perdagangan atau motosikal yang pasti menambah jumlah penyumbang pencemaran jika mengambil kira perangkaan jumlah kenderaan di negara ini yang dianggarkan mencecah 16 juta setakat pertengahan tahun ini.

Sudah pasti pemilik atau pengusaha premis cuci kenderaan, sama ada berdaftar atau beroperasi secara haram tersenyum lebar kerana dengan bayaran purata RM5 hingga RM10 setiap kenderaan dicuci, mereka boleh mengaut keuntungan lebih 50 peratus selepas ditolak kos bahan dan pekerja.

Sikap bermotifkan keuntungan semata-mata itulah yang menyumbang kepada peningkatan jumlah pesakit kanser di negara ini kerana bahan mencuci kenderaan digunakan, sebenarnya mengandungi bahan kimia berpunca daripada penggunaan 'snow wash'.

'Snow wash' atau takrifan saintifiknya 'surfactants' dan bahan pencuci yang mengandungi sisa LABs', sejenis sabun berbuih pekat disemburkan pada badan kenderaan dan digunakan hampir semua premis cuci kenderaan kerana mudah serta banyak buih berbanding sabun biasa.

Dengan purata setiap kenderaan dicuci menggunakan 20 liter air bercampur sabun, 40 peratus atau lapan liter daripada sisa air mengandungi bahan pencemar kental, bermakna jika lima juta kenderaan dicuci, ia akan menyumbang 40 juta liter sisa air tercemar sebulan.

Dalam tempoh 12 bulan, ia menyumbang 480 juta liter air tercemar hasil tanpa belum mengambil kira tempoh berkembangnya perniagaan cuci kenderaan yang dipercayai aktif sejak lebih 10 tahun lalu.

Dalam istilah kimia, bahan toksik itu dipanggil `hydrophobics' dan paling ditakuti kerana kekal dalam ekosistem untuk tempoh lama serta tidak mudah larut dalam air, sebaliknya dalam bahan organik seperti lemak atau lipid manusia jika terdedah melalui pernafasan, pemakanan dan sentuhan kulit. Ia juga boleh dipindahkan dari satu organisme ke organisme lain melalui rantai makanan manusia.

Baki 60 peratus daripada air sisa itu pula bahan mudah dinyah bakteria dalam proses pereputan atau biodegredasi yang dipanggil 'hydrophillics' kerana mudah larut dalam air dan kesannya tidak begitu membimbangkan kerana tidak kekal lama dalam alam sekitar.

Saintis dan Pakar Forensik Alam Sekitar, Pencemaran Marin, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Mohamad Pauzi Zakaria, berkata kajiannya ke atas kerang dan kupang mendapati tisunya mengandungi bahan toksik berpunca daripada bahan tercemar dilepaskan daripada aktiviti cuci kenderaan. "Sisa toksik itu akan kekal lama.

Jika dimasak atau direbus dengan suhu paling maksimum pun, ia tak akan musnah, sebaliknya cuma beralih tempat. Bahan itu tak boleh dinyahkan, rebusan air cuma boleh membunuh bakteria," katanya. Bahan tercemar organik dalam hidupan laut yang dimakan manusia akan masuk ke dalam tisu badan melalui tiga cara iaitu menumpang di tempat berair, berlemak dan berdarah mengikut keserasian sehingga ia dikeluarkan semula secara perlahan-lahan sebelum masuk ke otak.

Tindakan pemilik membasuh tayar kenderaan menggunakan pam air berkuasa tinggi juga menyebabkan pencemaran kerana setiap tayar kenderaan disahkan mengandungi sulfur serta bahan kimia Mobt (-2-(4-Morpholinyl)-Benzothiozole). Apabila tayar kering terkena tembakan air, Mobt semakin cepat mengalir keluar dan bercampur sisa basuhan lain, tetapi air basuhan enjin kenderaan lebih berbahaya kerana semua sisa akanbercampur dengan pelbagai jenis minyak enjin.

"Pihak berkuasa yang meluluskan lesen premis cuci kenderaan perlu memainkan peranan dengan mengarahkan sistem rawatan air sistematik diwujudkan bagi mengurangkan pencemaran. Kenapa kilang diwajibkan ada sistem rawatan sisa air, sedangkan pusat cuci kenderaan dibiarkan. "Mungkin ramai tidak sedar, jika air sisa basuhan kenderaan itu direbus dan diminum cuma setitik, mereka yang meminumnya akan disahkan menghidap kanser dalam tempoh 24 jam selepas itu," katanya.


Oleh Mohd Azis Ngah

No comments: