
Batu itu berbentuk hampir separuh bulatan dan di tengah-tengah batu ini terdapat satu lubang yang turun ke bawah menuju ke sebuah gua kecil yang dipanggil "Gua Arwah".
Pada masa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab r.a. kawasan batu itu dikepung dengan mendirikan sebuah masjid berbentuk bulat dan senibinanya direka khas oleh seorang akitek Greek.
Pada masa pemerintahan Abdul Malik ibn Marwan iaitu Khalifah Ke 10, masjid itu telah dibangunkan semula serta dinamakan Masjid Qubatul Sakhra' (Dome of The Rock), setinggi 10 meter dan diameter 20 meter.
Ada cerita yang mengatakan bahawa batu ini terangkat ke atas ketika Rasulullah melepaskan kaki Baginda dari batu ini untuk melakukan Mi'raj ke Sidratul Muntaha. Batu ini dikatakan ingin mengikut Rasulullah waktu Mi'raj tetapi ditahan oleh malaikat Jibril. Bekas tapak tangan Jibril dikatakan masih ada di sana.
Menurut Sayyid Muhammad bin Alwi Al-Maliki, ulama Masjidil Haram di Makkah, mereka yang berkata bahawa batu ini tergantung di antara langit dan bumi adalah tidak benar kerana kisah ini tidak tersebut dalam Al-Qur'an atau dalil-dalil hadis yang kuat. (Bait Al-Maqdis, Masjid Al-Aqsa dan Batu Bergantung oleh Syed Hassan Muhammad Al-Attas)
Kejadian batu itu cuba terbang mengikut Nabi Muhammad S.A.W. semasa israk dan mikraj, setelah dikaji semula berdasarkan kepada hadis-hadis sahih, perkara itu tidak benar. Ia hanya bersumber dari Yahudi (dongeng Israiliyyat). Batu itu sebenarnya tidak terapung.
Menurut Prof Dr Tala'at Muhamad Afifi, dari Universiti al-Azhar:
وقبة الصخرة ليست معلقة بالهواء كما ورد في السؤال وإنما لها حافة تمتد بعيداً
عن قاعدتها بحيث يتخيل الشخص أنها معلقة.
"Qubatul Sakhra' itu bukanlah terapung diatas udara sebagaimana yang dinyatakan didalam soalan, akan tetapi hujungnya luas dari tapaknya yang menjadikan ianya tergantung".
Maknanya, batu itu mempunyai bahagian atas yang lebih besar dari bawah menjadikannya seolah-olah terapung. Kesimpulannya, cerita Batu yang tergantung itu merupakan cerita-cerita Israiliyyat. Dikatakan bahawa orang Yahudi sengaja ingin mewarwarkan mengenai Qubatul Sakhra' agar orang Islam dapat melupakan Masjid Al-Aqsa yang dipercayai merupakan tapak masjid yang dibina oleh Nabi Sulaiman yang ingin mereka kuasai.
No comments:
Post a Comment