Sunday, April 11, 2010

Kartika Bebas Dari Sebatan...

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) kecewa dengan keputusan meringankan hukuman sebat kepada menjalani hukuman khidmat masyarakat terhadap bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor yang bersalah kerana meminum arak.


Setiausaha Agung PPMM, Abdul Halim Bahari berkata penggantian hukuman tersebut langsung tidak mengambil kira hasrat dan kemahuan Kartika Sari Dewi sendiri yang mahu dirinya disebat secara syarie.

Menurutnya, PPMM yang mewakili lebih seribu ahli yang berkelulusan undang-undang dan syariah khuatir perintah ini tidak mempunyai kesahihan di sisi undang-undang kerana Ketua Agama negeri seharusnya mempertahankan undang-undang Islam serta memperkukuhkan institusi hukuman syariah.

"Undang-undang Islam telah menetapkan hukuman bagi kesalahan minum minuman keras. Walaupun sebatan syarie sebanyak enam kali itu tidak mencapai jumlah yang ditetapkan oleh hukum syarak, namun ia hendaklah dilaksanakan juga kerana ia lebih hampir kepada hukum syarak.

"PPMM juga musykil penggantian hukuman dikatakan atas faktor kemanusiaan sedangkan hukuman sebat tersebut sendiri adalah ringan kerana ia lebih bersifat mendidik sebagaimana bapa mendidik anaknya, " katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Katanya, PPMM juga menyelar sesetengah ahli politik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang membelakangkan undang-undang Islam dalam pendirian mereka demi menyokong keputusan meringankan hukuman itu.

PPMM menegaskan bahawa setiap undang-undang yang ditetapkan Allah mempunyai falsafahnya yang tersendiri dan kadang-kadang menjangkaui logik akal manusia.

Kartika Sari Dewi, 33, mula menjalani hukuman khidmat masyarakat di Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, di sini, hari ini untuk tempoh selama tiga minggu.

Dia terlepas daripada hukuman sebat selepas Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah perkenan meringankan hukuman itu.

No comments: