
Keputusan itu membatalkan larangan yang dikenakan oleh Kementerian Dalam Negeri ke atas akhbar berkuat kuasa awal tahun ini.
Mahkamah membuat keputusan bahawa setiap orang mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan “Allah”.
Dalam keputusannya, Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan bahawa Kementerian Dalam Negeri telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan perkataan “Allah” dalam penerbitan mingguan itu.
Penghakiman penting ini dilihat akan menggembirakan kira-kira 850,000 masyarakat Kristian Katolik negara ini.
Peguam bagi pihak Herald, Porres Royan memberitahu wartawan bahawa “mahkamah telah mengisytiharkan yang pemohon mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataaan Allah.” “Saya percaya kementerian akan patuh kepada keputusan mahkamah,” katanya.
Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaludin Md Said pula berkata, “saya difahamkan kementerian sudah pun membenarkan permit untuk tahun 2010.”
Permit semasa untuk menerbitkan Herald berakhir hari ini. Mengenai tindakan susulan, Kamaludin menambah beliau akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri untuk mendapatkan arahan selanjutnya.
Pada 16 Feb lepas, Uskup Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri, melarang beliau menggunakan istilah Allah dalam akhbar itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.
Pada 7 Jan lalu, Menteri Dalam Negeri meluluskan permit Herald dengan syarat penggunaan perkataan “Allah” dilarang dan perkataan ‘Terhad’ perlu dicetak di muka depan majalah tersebut iaitu hanya diedarkan kepada penganut Kristian.
Menteri Dalam Negeri melarang penggunaan perkataan “Allah” atas alasan keselamatan negara dan mengelak salah faham dan kekeliruan di kalangan orang Islam.
No comments:
Post a Comment